Alahai... Kerja Kursus KH

| Tuesday 19 April 2011
Kerja Kursus KHB memang mempengaruhi gred pelajar dalam mata pelajaran KHB PMR. Ini kerana 40% markah kerja kursus pelajar diambil kira dalam pemarkahan sebenar PMR. Kaedah ini memang banyak membantu pelajar yang mengambil mata pelajaran KHB. Namun bagi pelajar yang bermasalah dan tidak endah dengan kemajuan diri mahu pun disiplin sekolah, kerja kursus KHB merupakan bebanan berat kepada guru dan sekolah.

Hal ini demikian kerana jika seseorang pelajar mempunyai markah kerja kursus dan tidak mengambil peperiksaan semasa PMR, pelajar tersebut dianggap gagal. Begitu juga sekiranya pelajar berkenaan tidak melaksanakan kerja kursus tetapi hadir semasa peperiksaan PMR, pelajar tersebut masih juga gagal. Dengan kata lain, seseorang pelajar mesti mengambil dan melaksanakan kerja kursus dan hadir semasa peperiksaan PMR.

Masalah yang dihadapi oleh pihak VOKTEK SMK Tandek dan mungkin juga beberapa sekolah lain berhampiran ialah kegagalan pelajar melaksanakan kerja kursus. Di bawah merupakan beberapa faktor yang dikenal pasti menjadi penyebab:

1) tidak hadir ke sekolah
2) ponteng kelas
3) berpindah sekolah dan tidak membawa/tiada rekod kerja kursus dari sekolah
terdahulu
4) tercicir (tidak pernah bersekolah dalam satu-satu tingkatan, contohnya
bersekolah semasa tingkatan 1 tetapi tidak bersekolah semasa tingkatan 2
disebabkan hal-hal seperti mengikuti ibu bapa di luar negara, tidak mampu ke
sekolah setelah gagal mendapatkan tempat di asrama dan lain-lain lagi)
5) dan sebagainya

Daripada semua penyebab di atas, pihak VOKTEK menghadapi masalah utama dalam bahagian satu iaitu pelajar berkenaan tidak hadir ke sekolah. Perkara ini sukar dikawal apabila pelajar berkenaan telah berkali-kali diberi amaran namun masih gagal hadir. Perkara terakhir yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah membuang pelajar yang tidak hadir tanpa sebab atau disebabkan masalah disiplin. Bagaimanapun, tindakan ini tidak dapat menyelesaikan masalah jika pelajar berkenaan telah pun mendaftar untuk peperiksaan PMR. Hal ini juga menyebabkan pihak sekolah sukar untuk mencapai dan mengekalkan kelulusan 100%.

Tinjauan yang dilakukan oleh pihak VOKTEK mendapati pelajar yang tidak hadir ke sekolah mempunyai pelbagai sebab. Antaranya ialah, pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan tinggal jauh dari sekolah. Sebagai contoh, beberapa lokasi tempat tinggal pelajar seperti Kampung Magandai, Kampung Bombong dan sebagainya memang agak mustahil untuk pergi dan balik ke SMK Tandek setiap hari. Tempat tinggal di asrama juga agak terhad dan dikhaskan untuk pelajar yang tinggal jauh dan menunjukkan kemajuan dalam akademik. Faktor kedua ialah, masalah kewangan iaitu keluarga yang terlalu miskin tidak mampu membayar kereta sewa secara tetap untuk setiap bulan apatah lagi jika sewa kereta mencapai nilai ratus/bulan disebabkan lokasi rumah yang jauh dari sekolah.

Tidak dinafikan kegagalan pelajar hadir ke sekolah juga dipengaruhi oleh persepsi dan disiplin pelajar berkenaan. Sebagai contoh, pihak VOKTEK pernah berbual dengan pelajar dan ibu bapa pelajar berkenaan. Pihak VOKTEK bertanya kepada pelajar berkenaan kenapa tidak ke sekolah sedangkan masa tersebut adalah masa persekolahan. Ibu kepada pelajar berkenaan tanpa segan silu memberitahu pihak VOKTEK "cikgu, sekarang ini musim ikan jadi anak saya ni ikut turun ke laut menolong kami. Bukan juga lama cikgu, habis musim ikan ni anak kami datanglah balik ke sekolah". Masalah disiplin pula meliputi pelajar yang malas ke sekolah disebabkan masalah sosial seperti alkohol, hubungan dengan pasangan, melencong ke tempat lain dan lain-lain lagi.

Jika ingin diceritakan lagi, banyak lagi yang lain tetapi cukup sekadar di sini kerana pihak VOKTEK memang betul-betul berharap perkara ini dapat diselesaikan dan pelajar dapat menguasai ilmu dalam KHB tetapi nampaknya banyak juga faktor di luar kawalan guru, pelajar ataupun sekolah. Pihak VOKTEK teringat pesanan seorang guru pada masa dahulu yang mengatakan inilah "human factor" dan jawapan yang kita dapat memang "indefinite". Hmmmmmm