24 Mac 2011 sempena dengan sambutan Bulan VOKTEK SMK Tandek, pihak VOKTEK telah menjemput 3 pihak yang berkaitan dengan dengan kemahiran untuk memberi ceramah kerjaya di SMK Tandek. 3 pihak yang dimaksudkan ialah Giatmara Bandau, ABM Sabah dan Institut Pertanian Sabah yang diwakili oleh PLP Damai.
Aqeem Farhan, seorang pelajar yang menghadiri ceramah ini mengatakan ceramah ini amat sesuai untuk golongan pelajar sederhana yang tidak berjaya mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan awam. Jika diteliti, kenyataan pelajar ini benar kerana secara am (walaupun tidak ada sokongan statistik) pelajar lepasan peperiksaan SPM dari SMK Tandek yang berjaya masuk ke Pusat Matrikulasi atau Institusi Pengajian Tinggi adalah dalam lingkungan 30%. Selebihnya masuk ke Tingkatan 6 untuk merebut peluang kedua masuk ke universiti. Oleh itu, sesuailah ceramah ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada 70% lagi pelajar lain yang tidak berjaya mendapat tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi selepas peperiksaan SPM atau PMR bahawa wujudnya jalan lain yang terbuka luas untuk mereka.
Pada pendapat VOKTEK, masa hadapan pekerjaan di negara kita akan lebih tertumpu kepada mencari kemahiran individu selain daripada kelulusan akademik yang sedia ada. Hal ini demikian memandangkan trend masa kini menunjukkan majoriti golongan belia di Malaysia mampu untuk masuk ke IPTA dan IPTS. Maknanya, ramai yang mampu memiliki ijazah namun terdapat soalan sejauh mana pemegang ijazah ini dapat menerokai dunia pekerjaan dengan ijazah semata-mata tanpa memiliki sebarang kemahiran. Seperti soalan yang pernah ditanya oleh seorang tokoh usahawan ketika menemuduga calon pekerjanya "what makes you better than the others?". Sesungguhnya kemahiran amat penting untuk menghadapi persaingan pada masa hadapan.
Pihak VOKTEK juga teringat pesanan seorang rakan yang mengatakan "keluar universiti dapat jenama belum tentu dapat duit, keluar dari institut kemahiran tiada jenama tapi dapat duit". Sebaris ayat yang sering kali pihak VOKTEK fikir-fikirkan. Tetapi alangkah baiknya jika pelajar-pelajar kita mendapat jenama dan juga duit pada masa yang sama. Memang inilah yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita dalam usaha mewujudkan modal insan di Malaysia. Marilah kita sama-sama mendidik anak bangsa agar mereka cukup bersedia menghadapi persaingan pada masa hadapan, walaupun kita sekadar guru yang jarang dipandang atau institusi kemahiran yang sering dilupakan. Terima kasih Giatmara, ABM Sabah dan PLP Damai.
|
wakil penceramah dari Giatmara Bandau
|
|
Cikgu Yap dari unit media SMK Tandek
|
|
Cikgu Bonar, Penolong kanan HEM menyampaikan cendera kenangan
|
|
Ramai pelajar bertanya soalan selepas sesi ceramah tamat |
|
Aqeem Farhan, pelajar SMK Tandek
|
|
En Mohd Haris, wakil ABM Sabah
|
|
En Syaiful, wakil ABM Sabah
|
|
En Lee, wakil dari Institut Pertanian Sabah
|
0 comments:
Post a Comment